Bila Universiti dipolitikkan dan diselimut Hedonisme.
March 22, 2008 by amankim
Pesta Konvo
Setiap Universiti di Malaysia umumnya mengadakan Pesta Konvokesyen. Tujuannya bukanlah untuk meraikan graduan yang berkonvo, tetapi lebih kepada memupuk gejala (bukan budaya. Perkataan budaya hanya sesuai untuk perkara yang baik) hiburan atau hedonisme kepada warga Universiti. Tidak cukup dengan lambakan konsert di seluruh pelusuk tanahair seperti program realiti hiburan (AF, OIAM, MI dll) yang meracuni pemikiran anak Malaysia (Melayu umumnya) , kini para pendidik dan mahasiswa/siswi pula menjadi sasaran untuk dirosakkan. Adakah pihak berwajib mahu menjadikan Malaysia seperti Singapura?
Rasional
Bagi penulis, Pesta Konvo yang diadakan sepatutnya bertujuan untuk menjemput orang luar agar melihat tentang keagungan atau kemegahan sesebuah universiti itu dalam melahirkan graduan yang seterusnya memberi sumbangan besar kepada negara kerana golongan terpelajar ini bakal mewarisi negara. Pesta Konvo juga seharusnya dijadikan medan niaga kepada para mahasiswa yang ingin menjadi usahawan melalui gerai-gerai di lot tapak pesta. Sebaliknya kini kita dapat lihat di mana-mana universiti bahawa setiap kali Pesta Konvo dianjurkan, para artis akan dijemput membuat persembahan, mat-mat rempit diarak berkonvoi untuk ‘mempromosikan’ Pesta Konvo; termasuklah si tua bermotosikal kuasa tinggi. Bukan sahaja itu, lot-lot gerai juga bukan lagi diberi keutamaan kepada mahasiswa.
Di manakah letaknya rasional tentang penganjuran majlis ini yang tersasar dan menjerumuskan ke arah maksiat dan pendedahan warga universiti terhadap kekotoran dunia? Apakah logik jika dikatakan bahawa hiburan itulah yang berjaya menarik para pengunjung membanjiri pesta konvo? Pesta Konvo hari ini tidak kurang sama dengan pasar malam di luar, yang mana untuk mengaut keuntungan semata-mata bagi pihak universiti.
Pengalaman Penulis
Penulis berada di sebuah universiti di selatan tanah air yang terkenal pada tahun ini untuk meraikan rakan-rakannya yang berjaya menempuh rintangan sebagai mahasiswa/siswi dan mendapatkan segulung ijazah. Namun apa yang dapat dilihat pengisian untuk pesta konvo di sini dipenuhi dengan hiburan dunia semata. Walaupun pada malam pertama dianjurkan Forum Perdana Hal Ehwal Islam, namun itu tidak boleh menjadi sebab untuk menghalalkan yang haram. Ternyata bahawa pemikiran dan minda pihak penganjur pesta konvo universiti masih belum mencapai tahap minda kelas pertama sebagai orang yang terpelajar dan bersahsiah mulia.
Bagaimanakah universiti di Malaysia mampu setaraf dengan universiti luar yang dikatakan teratas di dunia? Adakah dengan penganjuran aktiviti seperti ini? Penulis paling sedih dengan pengisian aktiviti seperti muzik yang melalaikan dan konvoi mat rempit. Jika inilah yang cuba ditunjukkan kepada masyarakat luar bahawa kita juga setanding mereka dalam menganjurkan majlis yang melalaikan maka kita masih belum cukup matang. Mengapa perkara negatif seperti ini dicedok, tetapi bukan yang positif? Harvard mendapat ranking terbaik bukan kerana kejayaannya menganjurkan konsert terbesar Incubus atau Britney Spears. Begitu juga dengan Yale, yang mana ukurannya sebagai universiti terhebat adalah dinilai berasaskan pencapaian akademik dan sahsiah warga universiti. (Bila saya kata sahsiah di sini, saya maksudkan usaha dan peranan mereka dalam menjadikan dunia ini lebih maslahat untuk didiami.)
Jika kita lihat apa yang telah universiti tempatan capai di peringkat antarabangsa, adakah ianya cukup untuk membuat kita berpuas hati?
Masalah terbesar yang dapat dilihat tentang universiti tempatan adalah dasar-dasar universiti atau Kementerian Pengajian Tinggi sendiri yang enggan berperanan mengiakan Islam, dan tidak menolak Barat. Semasa belajar dahulu, penulis pernah menganggotai badan kesatuan mahasiswa. Ya, penulis juga salah seorang yang menganggotai Sekeariat Pesta Konvo. Apabila terdapat pihak yang mahu membawa masuk artis sebagai pengisian pesta konvo, penulis antara yang membantah. Penulis enggan menganjurkan aktiviti yang berunsurkan hiburan lalai atau sia-sia kerana pada hematnya, sudah cukuplah anak bangsa rosak di luar sana. Kita tak berupaya mengawal pergerakan atau tindakan mana-mana mahasiswa/siswi apabila ianya di luar kawasan universiti. Jika mereka mahu ber’clubbing’ / berparti liar / merempit , pihak universiti tidak dapat melarang kerana tiada peruntukan akta. Sebaliknya Akta yang ada hanya sekadar menyekat kebebasan dan kelantangan suara mahasiswa.
Ketika membantah mengenai program konsert itu, penulis berhadapan dengan pengurusan tertinggi(penganjur pesta konvo).
Antara alasan yang diberikan pihak atasan adalah “Takpe kita buat konsert ni. Dengan cara kita membawa masuk hiburan ke universiti, kita dah elakkan para mahasiswa mencari hiburan di luar” , ataupun “Takpe, at least kita boleh kawal hiburan di universiti ini”. Apa kejadahnya dengan konsep yang diberikan penganjur? Tidakkah terfikir di benaknya bahawa jika yang datang menyaksikan konsert itu adalah ‘virgin’ atau pertama kali menghadiri konsert, maka pada kali lain mereka akan mencarinya sendiri di luar?(Atau yang menjawab itu memang benak, walaupun belajar) Inikah pendedahan yang dikatakan mahu diberikan kepada mereka? Ya, memang kita berupaya ‘mengawal’ konsert itu, tapi bagaimana dengan pengunjung? Dapatkan mereka dikawal?
Akibatnya, penulis tarik diri daripada turut terlibat sebagai pihak penganjur.
Penyelesaian
Sikap TNC, NC, KPT, MPP yang ‘menghalalkan’ hiburan lalai di pesta konvo itu amat menjijikkan dan memualkan. Bagaimanapun, bukan semua yang di atas bersikap demikian. Saya amat hormat dan respek mereka yang masih berjuang untuk menyelamatkan generasi kita agar tidak terus lalai. KPT sibuk mengeluarkan kenyataan akhbar bahawa mahasiswa hari ini tidak berani tampil, layu, tiada kredibiliti dan bisu. Mahasiswa dahulu lebih membanggakan dan berdaya saing. Namun, adakah semuanya salah mahasiswa jika KPT sendiri yang menyekat hak-hak mahasiswa? Bila Mahasiswa beersuara sedikit, mulalah dituduh dan dikeji sebagai proksi parti politik atau golongan penentang. Mahasiswa kini ibarat diikat hidung dengan pelbagai item dalam Akta. Namun, segala yang haram di sisi Akta menjadi halal jika disetujui dan disokong NC/TNC sesebuah universiti tersebut.


